Categories
SELANGOR

PWB: Peruntukan naik, program ditambah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 NOV: Pusat Wanita Berdaya (PWB) terus diupaya dengan penambahan peruntukan RM50,000 tahun hadapan sekali gus membolehkan pelbagai program membabitkan wanita Selangor dirangka.

Exco Kesihatan Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, bagi tahun ini PWB setiap kawasan hanya mampu melaksana 12 program sahaja menerusi peruntukan RM30,000.

“Alhamdulillah, peruntukan tambahan berjumlah RM50,000 untuk PWB diterima sekali gus ia akan diguna pakai untuk memperbanyakkan program pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tambahan peruntukan PWB pada Majlis Kerjasama MoU Biasiswa Rekaseni IWB dan Kolej Pengajian Tinggi Raffles di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Terdahulu, dalam Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peruntukan PWB sebanyak RM30,000 ditambah menjadi RM50,000 setahun.

Disamping itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri mengakui kejayaan PWB menyuntik dinamisme dalam masyarakat melalui program pemberdayaan ekonomi dan program bersifat advokasi

“Ia dilaksanakan demi memberdaya penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan dan pakar teknologi serta melahirkan wanita Selangor yang berdaya untuk membangun sebuah masyarakat maju dan progresif,” katanya.