Categories
SASTERA

RESAM PERJUANGAN

Orang jujur dipotong lidah

orang amanah ditembak di kepala

siapa lagi yang tegar

berdiri di puncak kebenaran

demi sebuah keadilan.

 

Siapa lagi mahu mengetuk

pintu kemanusiaan

jika masih terkunci dalam jeriji bisu

pungguk pun menjadi lintar

kelu dibungkus malam.

 

Suara perjuangan itu

sering pecah berderai

dibidik halilintar dari langit tirani

merudum bagai bebatuan gunung

bergolek jatuh ke sungai hampa.

 

Akhirnya mereka yang berjuang

terlempar ke lubuk jeram

lemas dalam pusaran gelombang

siksa meratah berganda

pabila ribut kezaliman kian melanda.

 

ROSNANI AHMAD

Lembah Bujang, Merbok, Kedah