Categories
SASTERA

Perihal istilah aneh gubahan DBP

Oleh Aisa Linglung

TIDAK kurang yang mengkritik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana mencipta atau mengubah (atau apa saja yang sepadan dengannya) istilah  pelik-pelik, entah dari mana asal-usulnya.

Swafoto, tunafoto, nirtunai, mencicip — kedengaran begitu asing dalam kalangan kita. Terasa seperti direka-reka; kedengaran pelik, tidak pernah digunakan dek orang. Ramai rasa janggal, kelakar pun ada.

Pandangan sinikal terhadap DBP bukan situasi baru. Pandangan sebegini berakar daripada pendapat konsensus betapa bahasa gubahan DBP jarang menggambarkan bahasa seharian orang awam ― yang sering kita guna-dengar sama ada di pasar malam, jalanan atau rumah.

Orang ramai beranggapan istilah gubahan DBP seolah-olah bukan berakar daripada bahasa pertuturan kebanyakan orang. Itu belum lagi mengambil kira pertembungan antara ‘bahasa indie’ dengan ‘bahasa DBP’ lagi.

Lebih kurang setahun lalu, sebuah forum menemukan Lejen Press dan DBP bertajuk Karya Indie Merancu Bahasa anjuran Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Hasilnya, kami bersemuka tentang pendirian, bahasa dan hala tuju masing-masing.

Selaku penulis dan penggiat novel alternatif sejak 2010, pertembungan idea  bukanlah sesuatu yang baru. Sering kali karya alternatif ditohmah dalam media arus perdana, buku terbitan Lejen Press turut terkena tempiasnya.

Sehinggakan beberapa tahun sudah, “raja” sebuah syarikat penerbitan negara melancarkan kempen “Awasi Bahan Bacaan Anak Anda” yang jelas mensasar penerbit buku alternatif. Kami yang masih bertatih dalam dunia penerbitan buku tertanya-tanya apakah dosa kami hingga diperlakukan sebegitu rupa?

Sebenarnya, saya suka melihat langkah DBP akhir-akhir ini yang aktif merekayasa bahasa Melayu – sejajar persediaan penutur bahasa ini dalam mendepani abad ke-21 yang melangkaui serba-serbi perubahan dengan pantas.

Saya menyukai perkataan ‘swafoto’, sebagai terjemahan langsung kepada selfie. Walaupun saya percaya majoriti penutur bahasa Melayu lebih biasa dan selesa menggunakan istilah asal.

Istilah lain yang saya ‘ok’ adalah seperti nirtunai iaitu cashless – dalam istilah transaksi perniagaan melalui ruang maya dan fizikal  sebagai perkataan yang wajar digunakan dengan lebih meluas.

Tahukah pembaca, nir bermaksud “tiada” dalam bahasa Sanskrit? Nirvana pula bermaksud “tiada kecelaruan dan kegelapan”. Nirmala pula bermaksud “tiada cacat cela”. Perkataan “mala” bermaksud cacat cela dan ada kaitan dengan istilah malapetaka bererti “kejadian buruk yang mencetuskan cacat cela”.

Tetapi ada juga perkataan yang kedengaran agak buruk, sekurang-kurangnya pada peringkat awal seperti yang tular di media sosial iaitu “tunafoto” – merujuk kepada photobomb dalam bahasa Inggeris.

Ramai beranggapan istilah itu berkait dengan spesies ikan yang selalu dimakan dengan roti. Ia ternyata janggal untuk digabung-gubah menjadi istilah baharu yang tidak kaitan dengan ikan.

Istilah tuna turut membawa maksud “rosak”. Dalam bahasa Indonesia, banyak istilah yang dibangunkan melalui aspek penggunaannya. Contoh, tuna busana bermaksud tidak berpakaian sempurna (bukan telanjang atau bogel).

Jadi, tunafoto membawa maksud “gambar yang rosak”. Mudah dan logik bunyinya jika dinilai dengan maksud lain. Nah, memang sesuai untuk menggantikan perkataan photobomb, bukan?

Saya percaya skeptikalnya masyarakat terhadap usaha DBP merekayasa istilah baru datang dari sikap DBP yang skeptikal dengan bahasa lazim orang awam.

Bak kata ahli fizik, Sir Isaac Newton, every action will create reaction. Daripada kediktatoran bahasa DBP inilah munculnya sifat berontak lalu terciptanya karya indie yang lebih dekat dengan jiwa pembaca dari segi aspek pendekatan karya.

Begitu juga apabila istilah sebegini ditampilkan DBP, orang ramai menyambutnya dengan sinis dan ketawa.

Karya magnum opus George Orwell, Nineteen-Eighty Four, ada menegaskan bahawa bahasa yang dikawal oleh pemerintah adalah bahasa yang mencengkam pemikiran rakyatnya sendiri.

Jika kita mahu melihat masyarakat yang demokratik, bahasa juga harus demokratik. Tidak perlu ada satu badan yang menentukan istilah ini boleh, istilah itu tak boleh. Jika adapun, sedarlah dan terimalah bahawasanya bukan manusia dan muzik sahaja berevolusi dari zaman ke zaman, tetapi juga bahasa.

Ketika DBP merekayasa bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran abad ke-21, badan itu harus sedar kelangsungan bahasa pada kahirnya bergantung kepada penuturnya. Justeru, dekatkan bahasa itu pada jiwa penuturnya.

Apalah gunanya DBP sekadar memberanakkan istilah yang akhirnya hanya untuk ujian lisan SPM atau mesyuarat rasmi kerajaan tetapi tidak digunakan secara menyeluruh dan penuh bangga oleh masyarakat di jalanan, baik ketika bercanda dengan kekasih, atau ketika berbual dengan kawan atau keluarga?

Saya menyokong niat murni DBP dalam menjadikan bahasa Melayu bahasa yang disanjungi, tetapi usaha ini harus diterap secara menyeluruh dari bawah ―  dari rakyat jelata. Bukannya sekadar dari kerusi empuk (empukkah?) ketua pengarah semata-mata.

Saya percaya, majoriti orang awam tidak menggunakan perkataan “rekayasa” dalam pertuturan mereka, sebaliknya mungkin renovate atau reinvent. Sama seperti ‘download‘, ‘smart phone‘ dan ‘loading‘ (sekadar contoh) yang jarang digunakan dalam pertuturan seharian. Mungkin orang ramai masih selesa dengan istilah bahasa Inggeris. Kita baru merdeka 60 tahun, dan kuasa besar dunia masih bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sewajarnya, biarkanlah bahasa itu membesar secara organik. Biarkanlah ia berkembang dengan penuturnya.  Apapun, selagi DBP tidak mengiktiraf  “aq” atau “ak” sebagai kata seerti untuk “aku”, DBP bolehlah dianggap masih relevan.