Categories
SELANGOR

RM43 juta laksana Bas Percuma Smart Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Perbelanjaan perkhidmatan bas percuma Smart Selangor diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi kemudahan pengguna di negeri itu telah mencecah kira-kira RM43 juta sehingga 30 September lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim, berkata kos dinyatakan itu adalah dalam tempoh sejak perkhidmatan itu dimulakan sejak 1 Julai 2015.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Kerajaan Negeri menyalurkan sebanyak RM34 juta manakala baki RM9 juta dibiayai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

“Mengikut pecahan, Kerajaan Negeri menaggung sepenuhnya perbelanjaan sebanyak RM3.5 juta pada 2015 manakala pada tahun lalu, daripada jumlah keseluruhan RM14.5 juta, Kerajaan Negeri menganggung RM11.4 juta dan PBT membiayai RM3.1 juta.

“Perbelanjaan pada tahun ini, setakat tempoh dinyatakan Kerajaan Negeri menanggung kos sebanyak RM18,64 juta dan selebihnya RM5.86 juta oleh PBT,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) KOta Anggerik, Dr Yaakob Sapari dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Chang Kim berkata, bas Smart Selangor kini menyediakan perkhidmatan dengan kemudahan 30 laluan di sebelas kawasan PBT di Selangor.

“Berbeza dengan jumlah itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya mempunyai empat laluan bas percuma PJCityBus,” katanya.

=EZY=