Categories
SELANGOR

Putrajaya tangguh lagi tawaran saham SPLASH

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Rundingan pengambilalihan saham Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) ditangguhkan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan, Putrajaya memaklumkan tempoh penangguhan dibuat menerusi dua surat yang dihantar Kementerian kepada Kerajaan Negeri.

Mohamed Azmin berkata, tuntutan penangguhan itu dibuat Kerajaan Persekutuan, susulan kegagalan panel penilai dilantik kementerian.

“Rundingan pengambilalihan SPLASH masih belum dimuktamadkan, justeru Kerajaan Negeri masih belum dapat sahkan nilai sebenar jumlah pengambilalihan isu air negeri.

“Kementerian berpandangan terdapat keperluan untuk lanjut tempoh pengambialihan yang mana tempoh untuk melanjutkan tempoh ini diminta oleh Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan menerusi surat dihantar kepada Kerajaan Negeri mencadangkan supaya perjanjian jual beli saham dilanjutkan pada tempoh sembilan bulan sehingga 4 Julai 2018 yang ditentukan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Dato’ Sulaiman Abdul Razak di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Untuk rekod, tempoh proses pengambilalihan itu sepatutnya berakhir pada 5 Oktober lalu, dengan nilai pengambilalihan itu didedahkan kepada umum pada tarikh berkenaan.

Susulan keputusan itu kata Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri kecewa berhubung hasil dapatan penilaian yang dibuat oleh panel penilai lantikan peringkat Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sewajarnya lebih terbuka dan mengamalkan prinsip bertintegriti demi menjaga kepentingan rakyat.

“Pandangan Kerajaan Negeri, penilaian dibuat panel penilai ini sewajarnya telus dan tidak perlu disorok.

“Ini kerana kedua dua pihak mempunyai kepentingan tentang harga perlu dibayar Kerajaan Negeri itu mestilah tidak membebankan rakyat.

“Sehingga kini, Kerajaan Negeri masih belum mendapat sebarang pengesahan berhubung nilai munasabah nilai bersesuai pengambilalihan itu,” katanya.

=EZY=