Categories
SELANGOR

RM5 juta biaya pencegahan, kawalan denggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri terus komited menangani ancaman jangkitan virus denggi, di Selangor dengan memperuntukkan RM5 juta untuk program pencegahan dan kawalan, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu akan disalurkan ekoran usaha sebelum ini menunjukkan hasil positif dengan kadar penurunan ketara kes denggi sebanyak 11 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pelbagai usaha dan aktiviti kawalan serta pencegahan di lokaliti yang dikenal pasti sebagai kawasan hotspot sudah dijalankan,” katanya.

Katanya, sebagai negeri pintar, Selangor tidak sekadar mengambil pendekatan tindak balas tetapi menggunakan kaedah ‘predictive analytics’ untuk meramal serangan denggi dan mengambil tindakan ‘preemptive’ untuk menangani serangan Aedes.

Sementara itu, ketika menyentuh usaha pemuliharaan sumber hutan di Selangor, Mohamed Azmin berkata, Hutan Simpan Raja Musa diterima secara sah dan diakreditasikan secara rasmi, pada 13 September lalu oleh Sekretariat QCC.

“Hutan Simpan Raja Musa juga mendapat pengiktirafan badan antarabangsa apabila satu acara berprestij iaitu Queen’s Baton Relay (QBR) yang merupakan acara simbolik persinggahan baton atau obor sempena Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia yang berlangsung dengan jayanya pada 18 Oktober lalu,” katanya.