Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Roboh jambatan lama Sungai Rasah elak banjir kilat berulang

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 9 NOV: Jambatan lama di atas Sungai Rasah perlu dimusnahkan bagi mengelak berulangnya kejadian banjir kilat yang berlaku di sekitar kawasan Sungai Rasah dan Bukit Raja.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu perlu dilakukan segera kerana menjadi salah satu punca banjir kilat yang menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, jambatan lama di Sungai Rasah ini terlalu rendah dan apabila jumlah paras air meningkat dengan sampah-sampah tersekat di situ menyebabkan aliran menjadi teruk sekaligus menyekat laluan air hingga melimpah ke kawasan Taman Rashna.

”Jadi, kita telah membuat keputusan untuk memastikan Lebuhraya Pantai Barat/West Coast Expressway (WCE) mengalihkan ‘scaffolding’ (perancah) dalam masa tujuh hari supaya projek pembinaan jambatan baharu di sini dapat siap sepenuhnya.

“Sekiranya pihak lebuhraya dapat mengalihkan perancah ini, jambatan lama juga boleh dimusnahkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diharapkan ia dapat diselesaikan dalam masa dua hingga tiga minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pembinaan jambatan baharu di Jalan Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa, di sini, semalam.

Mohamed Azmin melakukan lawatan tersebut susulan banjir kilat yang melanda beberapa lokasi di sekitar Bandar Bukit Raja, Sungai Rasah dan Taman Rashna sejak jam 5 pagi, kelmarin.

Selepas melawat tapak tersebut, Mohamed Azmin turut melawat mangsa banjir kilat di kawasan perumahan Taman Rashna.