Categories
SELANGOR

“Saya belum jadi MB semasa meterai perjanjian Puncak Niaga”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Rundingan antara Kerajaan Negeri dan Puncak Niaga Holdings Berhad bagi proses pengambilalihan industri air negeri berjalan ketika era pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Justeru, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan bagaimana beliau boleh mempengaruhi Kerajaan Persekutuan, sedangkan ketika itu beliau tidak terlibat dalam rundingan terbabit.

“Bagaimanapun, saya terus melantik peguam membatalkan saman itu kerana Tan Sri Rozali menuduh saya mempengaruhi Kerajaan Persekutuan memaksa Puncak Niaga menjual syarikatnya kepada Kerajaan Negeri.

“Hebat tak hebat saya? Saya boleh mempengaruhi Puncak Niaga menjual syarikatnya kepada Kerajaan Negeri sedangkan urusan dibuat sebelum saya menjadi Menteri Besar.

“Harga, penentu serta perjanjiannya pada zaman Tan Sri Khalid, bukan zaman saya, yang heret saya buat apa? Tetapi yang saya seronok, dia kata saya ada pengaruh. Kalau saya ada pengaruh, lebih baik saya duduk situ. Tetapi tidak mengapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Malaysia Baru Belanjawan Selangor 2018, di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin secara berseloroh berkata, beliau terpaksa membuat ‘kutipan derma’ jika mahkamah memerintahnya membayar RM14 bilion seperti dituntut Puncak Niaga.

“Kalau kena bayar RM14 bilion, kita buat kutipan derma. Saya ingat sampai kiamat pun tidak cukup tetapi lawan tetap lawan,” katanya.

Katanya, kes saman itu akan dibicarakan pada 28 November ini.