Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRU 14: Sedia ‘perang’ Mac ini

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dijangka berlangsung, pada Mac depan selepas satu sesi khas persidangan Dewan Rakyat diadakan, pada Januari 2018 bagi meluluskan persempadan baru.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau pada awalnya menerima maklumat Parlimen akan dibubarkan pada Disember ini tetapi ditunda kepada Mac 2018.

“Satu sahaja yang menjadi halangan untuk mereka gunakan sempadan baru sekarang ialah apabila Kerajaan Selangor membawa kes ini ke mahkamah dan kita berjaya sebahagian daripada permohonan.

“Namun, jika gagal saya akan terus merayu di mahkamah tetapi faham-faham sahajalah, mereka boleh mempercepatkan semua proses ini dan saya dapat maklumat pada Disember ini semua rayuan kita akan ditolak.

“Pada Januari nanti ada satu sesi khas Parlimen semata-mata untuk meluluskan sempadan baru kerana Februari ada perayaan Tahun Baru Cina, maka Mac bersiap sedia untuk ‘berperang’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Malaysia Baru Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, Umno-Barisan Nasional (BN) pada masa ini sangat bergantung kepada persempadanan semula bagi meningkatkan peluang untuk menang, pada pilihan raya nanti.

Justeru katanya, beliau mengarahkan pemimpin dan penjawat awam di negeri itu supaya melaksanakan Belanjawan Selangor 2018 sebaik melangkah ke tahun baru nanti.