Categories
SUKANKINI

SCL2017: Shah Alam Condoh layak ke suku akhir

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 NOV: Shah Alam Condoh FC menewaskan Ingress Penchala FC 4-1, semalam untuk menempah tiket ke suku akhir Selangor Champions League (SCL) 2017.

Dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Kompleks Sukan Panasonic, di sini, Shah Alam Condoh FC bertindak cemerlang meraih tiga mata untuk menduduki tangga ketiga dengan 13 mata.

Kemenangan itu menyingkirkan Puchong Fuerza FC (12 mata) ke tangga kelima kumpulan dan terlepas slot ke suku akhir walaupun menewaskan Ampang ATY Serayan FC 5-0 dalam perlawanan Selasa lalu.

Mengisi slot terakhir, PJ Level Up FC yang mengatasi Naga FC 2-1, Rabu lalu untuk berada di tempat keempat (13 mata) bagi mengiringi Kajang Ultimate FC (21 mata), Klang Southern FC (13 mata) dan Shah Alam Condoh FC dari Kumpulan A.

Sementara itu, Hartamas Rebel FC, PIB FC, Axis-02 FC dan Empayar Bangi FC dari Kumpulan B layak ke suku akhir apabila menguasai kedudukan pertama hingga keempat.

Hartamas Rebel FC terus mengekalkan kedudukan di tangga teratas (21 mata) dengan mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir kumpulan mengatasi Axis-02 PJ FC 6 – 1, semalam.

Empayar Bangi FC merebut tiket terakhir kumpulan apabila meraih tangga keempat dengan mengumpul 12 mata hasil catatan seri 2-2 ketika bertemu Shah Alam United FC, Rabu lalu.