Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor rekod nilai pelaburan RM11.7 bilion sehingga Jun

SHAH ALAM, 11 NOV: Selangor merekodkan nilai pelaburan RM11.7 bilion antara Januari sehingga Jun tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sektor perkhidmatan menyumbang 60 peratus nilai pelaburan manakala baki 40 peratus daripada sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan kuari.

“Pada 2018 Selangor berjaya merekod nilai pelaburan RM17 bilion dan angka ini meningkat kepada RM18 bilion pada tahun lepas.

“Selangor selalu dianggap negeri perindustrian namun ekosistem ekonomi sudah berubah apabila sektor perkhidmatan menjadi semakin penting,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Semenyih Zakaria Hanafi pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata ketelusan pentadbiran, dasar mesra pelabur dan infrastruktur berkualiti tinggi faktor penarik negeri ini sebagai destinasi pelaburan.

“Dasar Kelulusan 100 Hari untuk menjalankan perniagaan atau pelaburan, lawatan ke kilang serta pameran dan seminar secara maya diyakini membantu kita berdepan situasi ekonomi mencabar pada tahun depan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DNS: Perlu periksa kesihatan elak Covid-19

SHAH ALAM, 13 MAC: Semua tetamu yang hadir pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula Isnin ini diwajibkan melalui pemeriksaan kesihatan bagi mencegah penularan Covid-19, kata speaker DNS.

Ng Suee Lim berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi memantau perkembangan itu dan individu tidak sihat dinasihatkan untuk tidak hadir.

“Saya minta orang ramai, pemerhati dan petugas media yang datang untuk bertugas, sekiranya mendapati diri anda tidak sihat termasuk demam atau batuk, elakkan hadir,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Suee Lim berkata istiadat pembukaan sidang DNS di bangunan Annex bermula 16 hingga 27 Mac bakal disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diteruskan seperti ditetapkan dan sebarang perubahan sama ada tempoh persidangan dipendekkan akan diputuskan kemudian.

Semalam Kerajaan Negeri menangguhkan penganjuran program berskala besar yang tidak bersifat kritikal susulan perkembangan itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai pandemik (tersebar luas).

Categories
ADN SELANGOR

Jangan pandang negatif usaha Lando Zawawi, Brotherhood

SHAH ALAM, 11 NOV: Semua pihak disaran tidak memandang negatif terhadap usaha aktivis Lando Zawawi dan kumpulan pemotoran, Ikatan Silaturrahim Brotherhood (Brotherhood) menampal jalan berlopak.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, mereka turut memberi sumbangan kepada masyarakat dengan menggunakan duit poket sendiri.

“Kita jangan pandang negatif apa yang mereka buat sebaliknya ambil sebagai satu cabaran untuk meningkatkan usaha memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2020 bagi Jabatan Kerja Raya Selangor berjumlah RM178 juta.

Azmizam Zaman berkata, penunggang motorsikal merupakan golongan paling kerap terlibat dalam kemalangan yang disebabkan kerosakkan jalan.

Sementara itu, Azmizam berharap peruntukan berjumlah RM500,000 untuk membaiki lampu-lampu jalan di Pelabuhan Klang ditambah pada masa hadapan.

Katanya, pertambahan itu disebabkan jumlah RM500,000 yang diberikan tidak mencukupi untuk menanggung kos baik pulih lampu di Pelabuhan Klang.

Categories
SELANGOR

MB tangguh sidang DNS dengan amanat penting

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Persidangan (pembukaan) Dewan Negeri Selangor (DNS) 2019 hari ini ditutup dengan beberapa amanat penting yang ditinggalkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Antara amanat terbabit, beliau mahu supaya pensejajaran Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan usaha pengupayaan ekonomi rakyat dan negeri dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Amirudin juga mahu semua pihak menolak ekstrimis dalam semua hal termasuk perkauman melampau yang mampu membawa kepada pembunuhan.

Amirudin turut mahu tindakan segera dapat diambil dalam memastikan usaha pemutihan peniaga warga asing di pasar malam dan pasar pagi.

“Antara perkara yang perlu segera diambil tindakan adalah memastikan pemutihan gerai di pasar malam dan pasar pagi daripada penjaja asing yang berleluasa mengakibatkan tiada peluang kepada peniaga tempatan.

“Mereka yang mengalibabakan atau menjual lesen akan disenarai hitam daripada memiliki lesen selepas ini,” katanya.

Amirudin turut mengingatkan supaya jawatankuasa pilihan yang baharu dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Katanya, tugas legislatif bukan sekadar membina jambatan atau menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan semata-mata tetapi turut membabitkan tanggungjawab merangka dasar dan undang-undang.

Categories
SELANGOR

Panik tetapi tak hadir, Ketua Pembangkang ditempelak

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Ketua Pembangkang, Rizam Ismail ditempelak berikutan tiada di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Hal ini berikutan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar itu pada sesi perbahasan sebelum ini mempertikaikan langkah penjajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Rizam yang seolah-olah panik dengan langkah itu sepatutnya hadir supaya dapat mendengar penggulungan pihak Kerajaan Negeri.

“Nampak panik seolah-olah Kerajaan Negeri tarik macam-macam inisiatif yang ditawarkan, khususnya tentang Insentif Perkahwinan Belia yang ditawarkan.

“Jadi saya nak jawab tetapi Yang Berhormat Ketua Pembangkang tidak ada walaupun nampak panik macam Kerajaan Negeri tidak buat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan penggulungan perbahasan yang menerangkan dengan panjang lebar kepada DNS terhadap langkah penjajaran program IPR dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Katanya, penjajaran IPR lebih memberdaya dan mampu memberi lebih banyak manfaat kepada golongan sasaran.

Mohd Khairuddin berkata, selepas penjajaran program IPR golongan sasaran menerima sumbangan sebanyak RM6,200 berbanding hanya RM500 sahaja bagi Insentif Perkahwinan Belia sebelum ini.

Katanya, penjajaran dilakukan ini turut fokus dalam usaha memperkasakan institusi kekeluargaan di Selangor.

Categories
SELANGOR

Reformasi pentadbiran 2008 elak risiko pemberian tanah tidak telus

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Reformasi pentadbiran yang dijalankan pentadbiran baharu pada 2008 berjaya mengurangkan risiko pemberian tanah secara tidak telus seperti mana berlaku sebelumnya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selepas 2008 proses pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Semua permohonan kelulusan tanah secara pemberimilikan bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan setelah semua agensi, badan-badan teknikal memberikan maklumat serta komentar kepada setiap permohonan,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada sesi pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, proses pemberimilikan tanah bukan lagi di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tanah Daerah seperti amalan sebelum 2008.

Categories
SELANGOR

Selangor fokus 10 teras upaya belia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri memfokuskan 10 teras pembangunan dalam usaha mengangkat potensi belia yang aktif di Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, teras berkenaan sudah dilaksanakan menerusi gerak kerja Bahagian Pembangunan Belia Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

“Lebih 200 pemimpin generasi dan belia yang dilantik Kerajaan Negeri bagi melaksanakan teras program pembangunan itu.

“Untuk rekod, sejak 2009 sehingga 2013, 70 hingga 80 peratus program dilaksanakan tetumpu kepada program pembangunan sukan dan kecergasan.

“Namun, program ini diperluas menerusi 10 teras utama dan kita telah mendapati program belia itu kini lebih seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Tiew Way Keng di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Terdahulu, 10 teras utama berkenaan melibatkan program antaranya keusahawanan dan pekerjaan, kepimpinan dan organisasi, teknologi maklumat dan organisasi dan kemasyarakatan.

Selain itu aspek program pembangunan jaringan kesukarelaan, kebudayaan dan kesenian, kesejahteraan dan kesihatan, sukan dan kecergasan serta agama dan kepercayaan.

Categories
SELANGOR

Tiga ajaran sesat ancam negara

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 7 NOV: Sebanyak tiga aktiviti penyebaran ajaran sesat dikenal pasti mengancam ketenteraman awam dan berbahaya kepada negara.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, antara ajaran sesat terbabit ialah ajaran Millah Ibrahim @ Abraham (Millah Abraham), fahaman Syiah dan kumpulan militan Daesh.

“Ajaran Millah Abraham menjalankan usaha menjadikan negara baharu dan menghasut ahlinya melakukan apa juga tindakan bagi mencapai objektif di bawah ajaran meskipun bertentangan dengan norma masyarakat.

“Fahaman Syiah pula boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan menolak prinsip al-islam Wal Jamaah yang dominannya di Selangor.

“Sementara, kumpulan militan IS (Daesh) mempromosikan perang ideologi dan merekrut ahlinya untuk aktiviti keganasan.

“Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak terlibat dalam membanteras gejala ajaran sesat di Selangor,” katanya sambil menambah terdapat 19 ajaran sesat masih aktif di Selangor.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Pada masa sama, Ahmad berkata, kedatangan pendatang juga menjadi salah satu punca pembawakan aktiviti ajaran sesat di Selangor.

Categories
SELANGOR

RM20.4 juta laksana Projek Perumahan Generasi Kedua Felda

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Projek Perumahan Generasi Kedua Felda sedang dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor dengan kos RM20.4 juta.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ia meliputi pembangunan sejumlah 136 unit rumah berkembar satu tingkat.

Katanya, Kerajaan Negeri membiayai sepenuhnya kos pembangunan infrastruktur yang dianggarkan berjumlah RM7.65 juta.

“Rumah berkenaan juga akan dijual pada harga RM96,000 bagi seunit rumah.

“Jika Kerajaan Negeri tidak menanggung kos infrastruktur, harga jualan sebuah rumah mampu mencecah RM150,000,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan berhubung status kemajuan terkini Projek Perumahan Generasi Kedua.

Iskandar yang juga ADN Cempaka berkata, kelulusan Kebenaran Merancang (KM) Bersyarat sudah diperolehi dari Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), pada 5 Mei lalu.

Katanya, kelulusan KM Penuh dari MDHS pula diperolehi pada 12 September lalu.

“Pelan Bangunan dan Pelan Sementara disasarkan untuk mendapat kelulusan dari MDHS pada bulan November ini.

“Kerja pembinaan juga dijangka dimulakan di tapak oleh kontraktor dilantik pada akhir bulan November ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor lulus 414.531 ekar tanah rizab Orang Asal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : Kerajaan Negeri meluluskan 414.531 ekar keluasan tanah Kampung Orang Asal yang telah diwartakan sebagai kawasan atau rizab orang asal sejak 2008.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata ia melibatkan empat daerah di negeri ini.

“Bagi Hulu Selangor iaitu Kampung Orang Asli Sungai Jang Kerling dengan keluasan 4.18 yang diwartakan 24 Oktober 2013.

“Manakala bagi daerah Kuala Langat, Taman Desa, Kemandol dengan keluasan 86.79 ekar dan Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey pada keluasan 329.6 peratus pada 26 Oktober 2017 lalu.

“Sementara itu, bagi daerah Sepang iaitu Kmpung Orang Asli Bakok yang berkeluasan 9.044 dan daerah Klang, Tanjung Harapan Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang iaitu keluasan 3.00 ekar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sebelumnya, Kee Hiong mempersoal keluasan tanab rizab Orang Asal Selangor yang telah diwartakan Kerajaan Negeri, sejak 2008.

Pada masa sama kata Elizabeth, Kampung-Kampung Orang Asal yang mana Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan untuk diwartakan Rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7 Akta Orang Asli (Akta 134).

Ia melibatkan lima buah kampung dengan keluasan 564.833 ekar membabitkan dua daerah Selangor, iaitu Sepang dan Kuala Langat.

Categories
SELANGOR

Speaker DNS: Sembilan usul ditolak, tumpu belanjawan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sembilan usul daripada sembilan Ahli Dewan Negeri (ADN) ditolak pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini.

Speaker, Hannah Yeoh berkata, kesemua isu di dalam usul berkenaan boleh dibangkitkan sama ada ketika sesi perbahasan dasar, penggulungan jawatankuasa mahupun ketika usul pembangunan.

Katanya, keputusan menolak usul dibuat bagi menjimatkan masa sidang DNS November yang kebiasaannya menumpukan kepada belanjawan dibentang Kerajaan Negeri.

“Kita menerima usul paling banyak kali ini bagi sidang belanjawan yang bersidang 10 hari dan setiap wakil rakyat mempunyai masa secukupnya.

“Untuk sidang seperti Julai dengan masa terhad, kita galakkan usul bagi memberikan mereka lebih banyak ruang,” katanya pada sidang media, di Lobi DNS, di sini, hari ini.

Hannah berkata, semua Ahli Dewan Negeri (ADN) digalak menggunakan ruang dan peluang diberikan DNS dengan sebaiknya bagi membangkitkan isu sama yang ingin dibawa menerusi usul yang ditolak.

“Tidak timbul isu Speaker tidak demokrasi atau tidak beri ruang kepada ADN membangkitkan isu mereka.

“Contohnya usul mengenai Lesen Pusat Hiburan yang ada dibangkitkan menerusi sesi soal jawab atau isu Oktoberfest yang sudahpun berlalu.

“Kita tidak mahu isu yang boleh dibangkitkan dalam tiga minit dibincangkan menerusi usul yang memakan masa satu atau dua jam,” katanya.

Usul yang ditolak adalah usul dibangkitkan ADN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar (KEADILAN) berhubung larangan minuman keras, Mohd Haslin Hassan (PAS-Tanjung Sepat) pembangunan desa, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) pemberian hak milik tanah kerajaan kepada Umno, MCA dan MIC dan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) kemerosotan hasil tuaian dan potongan basah petani Sabak Bernam.

Usul lain merupakan usul dihantar ADN Umno iaitu Dato’ Sulaiman Abdul Razak (Permatang) isu memperkukuh institusi mahkamah syariah, Dato’ Shamsudin Lias (Sungai Burong) ikrar bebas rasuah, Datuk Abdul Shukur Idrus (Kuang) mengembalikan semula peranan Yayasan Selangor, Shahrum Mohd Sharif (Kuang) Oktoberfest dan Dato’ Amiruddin Setro (Jeram) lesen pusat hiburan.

Categories
SELANGOR

Dokumen lengkap lulus proses warta Tanah Kerajaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV: Pihak Berkuasa Negeri akan meluluskan pewartaan Tanah Kerajaan bagi pengurusan penempatan atau kawasan Orang Asal menerusi pemohonan lengkap yang dikemukakan Pejabat Tanah dan Daerah.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, proses kelulusan turut melibatkan permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pelan pra-hitungan yang disediakan Juruukur Berlesen.

“Setelah tanah diluluskan Mesyuarat Majalis Kerajaan Negeri (MMKN), perizaban diukur halus melalui pengeluaran Pelan Warta (PW) oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), pengisytiharan perizaban akan diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor.

“Proses itu akan mengambil tempoh masa lama sekiranya isu tanah dicadangkan untuk perwartaan tidak diselesaikan seperti isu pertindihan lot, pelan tanah yang dikemukakan tidak sempurna dan masalah dalam proses ukur halus untuk pengeluaran Pelan Warta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong di Dewan Negeri Selangor (DNS) yang mempersoal punca kelewatan proses pewartaan tanah kini.

Elizabeth berkata, dalam usaha untuk memantau proses pewartaan Kampung-Kampung Orang Asli, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, mesyuarat penyelarasan pewartaan tanah rizab Orang Asli telah dijalankan.

Beliau berkata, ia melibatkan penyertaan Pejabat Exco, Unit Perancangan Ekonomi Bandar (UPEN), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), pada 27 Oktober 2016.

“Dalam mesyuarat itu, dipersetujui bahawa JKOA akan kemukakan peta lengkap beberapa kampung dalam perancangan JKOA untuk diukur bagi tujuan pewartaan dan bakinya akan dibuat Kerajaan Negeri.

“Selepas tempoh masa hampir setajun JKOA hantar 37 permohonan kepada PTD-PTD pada 20 September 2017, sempena mesyuarat antara Pejabat Exco, PTGS, PTD, dan JKOA di Suruhanjaya Hak Asasi Kebangsaan Manusia (SUHAKAM) yang diadakan pada 28 September 2017 lalu,” katanya.