Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor International Halal dapat sambutan antarabangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor paling hadapan menerapkan konsep halalan toiyban di peringkat antarabangsa ekoran permintaan tinggi negara pengeluar dunia untuk mendapatkan pensijilan halal dikeluarkan Malaysia.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, antara negara yang mengadakan kerjasama dengan Selangor dalam industri halal ini termasuk Taiwan melalui National University of Taiwan.

“Sebenarnya kita ada kerjasama baik dengan pihak di Taiwan di mana National Universiti of Taiwan ada menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di mana mereka menyediakan satu tempat kuliah melibatkan mereka yang terlibat di Taiwan secara langsung dalam industri ini.

“Kita hantar pensyarah terlatih kita ke Taiwan kerana kita nak melihat jaringan kita daripada bahan mentah hinggalah ke produk dan inilah yang akan menjadi pegawai memastikan prasyarat halal diikuti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Katanya, beberapa siri penerangan juga diadakan di Taiwan, Jepun dan China diadakan dengan menggunakan asas dan prinsip sama.

Katanya, sijil halal Malaysia menerima pengiktirafan sebahagian besar negara pengeluar di seluruh dunia kerana dikenali mempunyai piawaian halal yang sangat diyakini dan disegani oleh masyarakat antarabangsa.

Mereka tidak ketinggalan mahu menggunakan label halal Malaysia sebagai jenama mempromosikan produk mereka dan Selangor pula ada Halal International Selangor untuk mengadakan program mendekatkan keperluan halalan toiyban ini kepada masyarakat perindustrian,” katanya.

=EZY=