Categories
SELANGOR

Selangor kemuka permohonan batal saman PNHB

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri sedia memfailkan permohonan bagi membatalkan tuntutan saman sebanyak RM14 bilion oleh Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu diambil kerana tuntutan PNHB adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Katanya, ia juga dibuat bagi menjaga dan menjamin kepentingan negeri dan rakyat Selangor secara keseluruhannya.

“Saya sudah memberikan arahan kepada peguam yang mewakili saya dan Kerajaan Negeri untuk ambil tindakan sewajarnya pada 28 November, iaitu hari ini.

“Tindakan seterusnya akan saya serahkan pada peguam. Apa-apa kita akan selesaikan di dalam mahkamah,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada 22 November lalu, PNHB memfailkan tuntutan saman RM14 bilion ke atas Mohamed Azmin, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Kerajaan Negeri berhubung pengambilalihan industri air Selangor.

PNHB dilapor mendakwa bahawa kedua mereka menyalahgunakan kuasa dengan mengancam untuk memaksa Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air untuk pengambilalihan itu.

Pada 2014, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menandatangani Memorandum Persefahaman dan membolehkan Selangor mengambil alih syarikat konsesi air yang beroperasi.

Kerajaan Negeri mengambil alih aset air yang dimiliki oleh PNHB, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Konsortium Abass bernilai lebih RM6 bilion.

Pada 15 Oktober 2015, Pelupusan syarikat PNSB dan SYABAS selesai pada harga RM1.55 bilion.

=EZY=