Categories
PBT SELANGOR

Guna sisa makanan, jimat elektrik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 28 NOV : Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memperkenalkan kaedah penjimatan baru tenaga elektrik untuk dimanfaatkan penduduk perbandaran itu.

Yang Dipertua MPSepang, Dato’ Puasa Md Taib berkata, pelaksanaan pelan teknologi itu dijayakan secara bersama, SIRIM Berhad.

“Kita menggunakan teknologi pencernaan makanan terpakai yang sudah tidak digunakan (sisa makanan) dengan melaksanakan pendekatan baru.

“Caranya, komponen terpakai ini akan ditukar dan dimasukkan ke dalam sebuah mesin untuk mengeluarkan tenaga yang mampu menjana pengeluaran elektrik.

“Untuk tempoh ini, projek ini masih lagi di peringkat percubaan dengan pelaksanaan uji kaji telah dimulakan di padang futsal.

“Sekiranya projek ini berjaya, kita bersedia untuk mengaplikasikannya di seluruh perbandaran,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2025, di Cyberview Resort and Spa, hari ini.

Terdahulu, ini bukan pertama kali pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memperkenalkan inisiatif penggunaan teknologi baru kepada masyarakat setempat.

Sebelumnya, MPSepang juga pernah melaksanakan pendekatan berbeza untuk menangani habitat Aedes dengan menggunakan lebihan minyak terpakai.

Pendekatan itu menyaksikan MPSepang sebagai PBT pertama muncul dengan penerokaan teknologi hijau baru yang turut diperakui Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong.

=EZY=