Categories
SELANGOR

Selangor sedia laksana pengangkutan awam komprehensif

 

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri bersedia melaksanakan satu sistem pengangkutan awam yang komprehensif dan efisien menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri turut mengadakan mesyuarat khas teknikal berkenaan projek berkaitan pengangkutan awam seperti pembinaan LRT3 bagi mengatasi masalah yang timbul.

“Kita membuat mesyuarat khas teknikal di peringkat PBT bagi pihak pelaksanan pengangkutan awam yang dilaksanakan sekiranya pihak pemaju menghadapi masalah dalam proses pembinaan tersebut.

“Pelan Induk Pengangkutan Awam (PIPA) sudah siap dan telah diserahkan salinan kepada agensi-agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Dato’ Mohd Shamsudin Lias di Dewan Negeri Selangor, Penggal ke 13, hari ini.

Chang Kim berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi menyelesaikan masalah kesesakan di bandar-bandar utama Selangor termasuk melaksanakan bas Smart Selangor dengan menyambungkan laluan bas tersebut di semua stesen KTM, LRT dan MRT sedia ada.

“Penyelidikan dari pelbagai aspek juga di ambil kira supaya pelan ini dilihat relevan pada masa hadapan,” katanya.