Categories
SELANGOR

RM41.8 juta duti hiburan setakat September

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sejumlah RM41.8 juta berjaya dikutip Kerajaan Negeri menerusi Duti Hiburan, setakat 30 September lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, ia meliputi 74 peratus daripada jumlah diunjurkan tahun ini, RM56.5 juta.

Katanya, kutipan RM38.4 juta diperolehi daripada duti hiburan panggung wayang sementara baki RM3.4 juta daripada taman tema, pertunjukan pentas, konsert, perlumbaan kereta dan motosikal serta lain-lain.

“Kutipan hasil duti hiburan pada tahun semasa mengalami penuruan sebanyak RM2.5 juta berbanding 2016.

“Antara faktor utama ialah kurangnya sambutan penonton terhadap tayangan filem tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung prestasi kutipan duti hiburan.

Ean Yong yang juga ADN Seri Kembangan berkata, Kerajaan Negeri bercadang menyediakan garis panduan berhubung pengeluaran lesen hiburan kepada pusat sukan rekreasi yang menyediakan permainan sukan lasak.

Katanya, ia termasuk All Terrain Vehicle (ATV) dan aktiviti sukan air serta ‘indoor theme park’ dengan permainan seperti ‘water climbing’ dan ‘trampolines’.

“Pengusaha premis ini mengenakan bayaran fi kepada pengunjung yang menggunakan fasiliti mereka.

“Premis diberi lesen Pusat Sukan Persendirian dan tidak tertakluk kepada Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103),” katanya.