Categories
SELANGOR

#Selangor18: Ibu berpendapatan RM2,000 ke bawah terima RM200 sebulan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 3 NOV: Golongan ibu menyambut baik insentif RM200 sebulan yang diberikan Kerajaan Negeri bagi mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah, bermula tahun 2018.

Bagi kerani akaun, Norfazilah Harun, 28, pemberian bantuan itu amat dinantikan kerana ia mampu meringankan bebannya dan keluarga terutama sebagai ibu yang bekerja serta berpendapatan rendah.

“Ini adalah peluang baik untuk golongan ibu bergaji rendah seperti saya kerana dengan bantuan itu boleh juga dibuat simpanan atau perbelanjaan anak yang tak mencukupi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Pengumuman itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menerusi inisiatif baharu yang diperkenalkan Kerajaan Negeri iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang akan memberdaya golongan ibu sebagai pengurus kewangan untuk keluarga masing-masing, di Selangor.

“Ia bagi membantu ibu daripada setiap keluarga atas segala pengorbanan dan perit jerih mereka khususnya berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah.

“Setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan,” katanya.

Selain itu, 30,000 ibu di negeri itu akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasaraya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti melalui Kad KISS,.

Sementara itu, guru tadika, Jaslina Harun, 36 berkata, bantuan itu dilihat sebagai penghargaan kepada peranan dan jasa ibu selama ini yang banyak membantu keluarga.

“Saya amat gembira dan bersyukur dengan bantuan ini serta bangga menjadi sebahagian daripada warga Selangor yang amat mementingkan golongan ibu,” katanya.