Categories
SELANGOR

#Selangor18: Kebajikan pekerja ladang tidak dipinggirkan

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan Selangor 2018 menyaksikan program pembangunan pekerja ladang diteruskan menerusi peruntukan RM500,000.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bertujuan meningkatkan kemahiran seperti menjahit, memasak, membaiki peralatan pejabat dan kenderaan untuk mengupayakan golongan itu menggilap potensi demi masa depan.

“Selain pemberdayaan pekerja ladang, Kerajaan Negeri turut mengambil berat pendidikan anak pekerja ladang dengan bercadang meningkatkan peruntukan dari RM1 juta kepada RM1.3 juta.

“Ia bertujuan membiayai Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Bantuan Yuran Pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, inisiatif itu turut menyediakan peruntukan bagi penyampaian anugerah kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk anak pekerja ladang yang cemerlang.