Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

#Selangor18: Peruntukan RM20 juta lengkapkan proses transformasi UNISEL

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Peruntukan geran RM20 juta kepada Universiti Selangor (UNISEL) akan melengkapkan lagi proses transformasi institusi itu secara berterusan pada 2018.

Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, dengan tambahan peruntukan itu ia dapat membentuk imej UNISEL baharu sekaligus memberi keyakinan kepada masyarakat.

“Kita cuba mengikis imej negatif tentang UNISEL berkenaan kemudahan yang tiada dan tidak mengikut kehendak pelajar selain keadaan bangunan yang perlu diperbaiki dan sebagainya, dan kita berjaya melakukannya dalam fasa satu sebelum ini.

“Di samping kemudahan infrastruktur, kita juga memberi penekanan kepada kemudahan berkaitan pengajaran dan pembelajaran seperti melengkapkan dan meningkatkan kemudahan teknologi informasi (IT) serta memberi keselesaan dalam bilik kuliah,” katanya kepada SelangorKini.

Mohammad Redzuan berkata, menerusi inisiatif baharu yang akan dilakukan dari semasa ke semasa, ianya dapat memberi impak kepada sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Saya yakin peruntukan RM20 juta ini sesuatu yang amat besar ertinya pada UNISEL dan kita ucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana memberikan perhatian serius kepada institusi ini.

“Kami ambil amanah ini sebagai satu tanggungjawab dan kita akan buktikan bahawa kita mampu membawa perubahan bersesuaian dengan tagline kita ‘peneraju transformasi’,” tambahnya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri berhasrat memberikan geran RM20 juta kepada UNISEL sebagai usaha berterusan menjadikannya pusat kecemerlangan ilmu pada 2018.

Peruntukan tersebut merupakan tambahan kepada RM44 juta yang disalurkan, pada 2017 yang juga merupakan kesinambungan daripada program transformasi kepada warga UNISEL sebelum ini.

=EZY=