Categories
SELANGOR

#Selangor18: Belanjawan membela nasib rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 5 NOV: Komitmen Kerajaan Negeri membela nasib rakyat terus menjadi keutamaan menerusi Belanjawan 2018, Jumaat lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, belanjawan itu meneruskan tradisi Kerajaan Negeri diterajui PAKATAN setiap tahun untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Beliau menjelaskan, ia juga bukan belanjawan pilihan raya dan berbeza dengan apa ditawarkan Kerajaan Persekutuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sudah bertahun-tahun bila kita bentangkan belanjawan memang untuk rakyat, bukan untuk kroni dan tauke besar.

“Inilah kekuatan di dalam Selangor, walaupun kita sebuah negeri yang maju dan banyak industri tetapi kita tidak lupa akan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam Program Dialog Pemberdayaan Wanita dan Pro Rakyat, di Dataran Niaga Bagan Terap, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam belanjawan itu, Kerajaan Negeri tidak sekadar mengutamakan pembangunan di bandar tetapi turut mengambil kira kawasan luar bandar yang mendapat keutamaan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, melalui pelbagai skim dalam program IPR diharap hasil kekayaan negeri akan dinikmati rakyat dan beroleh manfaatnya.

“Saya percaya belanjawan dibentangkan ini tiada golongan tertinggal dan terpinggir sama ada di bandar, luar bandar dan lainya dengan semua mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Turut hadir, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta pimpinan Kerajaan Negeri dan parti yang lain.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor Jumaat lalu, Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan 2018 berjumlah RM3.12 bilion.

Daripada jumlah itu, RM1.66 bilion atau 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan manakala RM1.46 bilion (46.8 peratus) bagi pengurusan.

=EZY=