Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM33 juta upaya CERIA untuk kemudahan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM33 juta untuk skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (CERIA), pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata daripada jumlah itu RM13 juta diperuntukan untuk kerja sivil sahaja manakala pembaikan dan penggantian lif akan dipindahkan kepada skim Smart Life.

Manakala, baki RM20 juta pula, Mohamed Azmin berkata, ia diperuntukan bagi mengecat 46 kawasan dengan 138 blok pangsapuri kos rendah.

“Skim bantuan ini adalah insentif Kerajaan Negeri menghargai Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) dan komuniti yang bekerja kuat membangunkan pangsapuri masing-masing sebagai model pangsapuri terbaik di Selangor,” katanya.

Sejak skim CERIA dilaksanakan pada Disember 2010 sehingga Ogos ini, beliau berkata, sejumlah 281 kawasan dengan 843 blok pangsapuri yang meliputi 168,600 unit petak kediaman dan membabitkan 843,000 penduduk di pangsapuri berkenaan telah menerima manfaatnya dengan kos keseluruhan RM92.2 juta.

Atas keprihatinan terhadap rakyat, katanya, mulai tahun depan Kerajaan Negeri memaklumkan syarat perkongsian kos oleh penduduk dilupsukan serta merta di mana penduduk pengsapuri kos rendah dan sederhana tidak lagi perlu menyumbang.

“Kerajaan Negeri bersedia menanggung RM8.7 juta untuk melupuskan tunggakan yang sepatutnya dibayar penduduk semenjak 2011,” katanya.

CERIA adalah skim bantuan baik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos remdah dan sederhana melalui perkongsian kos antara Kerajaan Negeri dan penduduk di mana penduduk kos rendah perlu menyumbang 20 peratus manakala penduduk kos sederhana memanggung 40 peratus.