Categories
SELANGOR

#Selangor18: Tiga bulan gaji untuk penjawat awam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri mengumumkan cadangan tambahan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dari dua bulan kepada tiga bulan gaji bagi tahun 2018.

Khabar gembira itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai dorongan buat penjawat awam yang selama ini bekerja keras menyumbang kepada pembangunan Negeri Selangor.

“Pembayaran sebanyak dua bulan telah pun dilakukan pada pertengahan Jun 2017 menjelang sambutan Eidul Fitr.

“Untuk melengkapi bantuan khas kewangan tersebut, satu bulan gaji akan dibayar pada 21 Disember 2017 untuk
membantu penjawat awam membuat persediaan persekolahan anak-anak,” katanya.

Selain itu, bantuan khas kewangan turut dinikmati 6,725 guru-guru KAFA dan 371 Ketua-Ketua Kampung Tradisi, 78 Ketua Kampung Baru Cina dan Kampung Bagan serta 48 Ketua Komuniti India.

“Pembayaran bantuan khas kewangan tiga bulan gaji memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 94.65 juta.

“Sayugia diingat, pembayaran ini menggunakan peruntukan tahun ini, dan dibayar tahun ini,” katanya.