Categories
SELANGOR

RM746 juta pertingkat infrastruktur

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM746 juta atau 44.9 peratus daripada peruntukan Belanja Pembangunan diperuntukkan untuk infrastruktur di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia termasuk projek pembinaan baru dan menaiktaraf jalan dan jambatan, projek tebatan banjir, penyelenggaraan parit dan saliran serta projek pembangunan bekalan air.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) diperuntukkan RM200 juta dan antara projek utama ialah naik taraf laluan Persiaran Mokhtar Dahari bernilai RM40 juta yang dijangka siap pada 2019, dengan kos projek bernilai RM160 juta.

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pelaksanaan dua projek pembangunan jalan bernilai RM272 juta.

“Ia termasuk projek jalan alternatif dari Shah Alam ke Banting dengan peruntukan RM13 juta dan projek menaik taraf jalan dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama RM16.5 juta,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, rakyat Gombak juga turut menikmati jalan baru dan jalan dinaiktaraf dengan peruntukan RM 36.7 juta.

Katanya, jalan baru menghubungkan Kampung Sri Indah A ke Jalan Hospital Sungai Buloh akan dibina dengan kos RM5 juta.

“Projek menaiktaraf jalan Kampung Lombong di Daerah Klang dan Kuala Langat menelan kos pembinaan RM16 juta akan dilaksanakan pada 2018,” katanya.

Projek lain termasuk pembinaan tiga jalan baru yang menelan kos RM32.4 juta.

Projek berkenaan adalah projek membina jalan sambungan Kota Warisan (RM10 juta), projek membina jalan dari Kajang ke Kampung Pasir, Sungai Lalang melalui perkampungan Naqasabandiah (RM1.3 juta) dan projek membina jalan sambungan Sungai Kelambu ke Genting Sanyen (RM1 juta).

Sejumlah RM18.7 juta turut diperuntuk bagi projek pembinaan jambatan dan jejantas termasuk menggantikan jambatan melintasi Sungai Kundang, Gombak (RM6 juta) dan projek menggantikan jambatan lama di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor (RM5 juta) serta projek menaik taraf jambatan di Sungai Rasah, Klang menelan kos RM3.7 juta.

=EZY=