Categories
SELANGOR

Serah bantuan, MB santuni warga Mukim Labu

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEPANG, 12 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyantuni warga Mukim Labu di Kampung Labu Lanjut dengan menyampaikan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan di kawasan itu.

Beliau tiba di sini sempena Program Sepetang Menyantuni Rakyat di perkarangan Masjid As-Syakirin yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Ir Haslin Hassan dan ADN Sungai Pelek, Lai Nyuk Lan.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin turut menyerahkan Notis 5A kepada enam individu bagi proses kelulusan pemberi milikan tanah milik Kerajaan Negeri.

Keprihatinan Dato’ Menteri Besar turut dizahirkan apabila beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa kebakaran di perkampungan Kampung Labu Lanjut, Oktober lalu.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri kekal konsisten mengamalkan prinsip berkebajikan dalam memastikan setiap rakyat mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya selaku Dato’ Menteri Besar bersama ADN negeri berpegang prinsip yang dinyatakan untuk berlumba-lumba mebawa kebaikan kepada rakyat keseluruhannya di dalam negeri Selangor.

“Maka, keprihatinan itu dinyatakan Kerajaan Negeri menerusi pembentangan Belanjawan Selangor yang meliputi agenda berkebajikan kepada seluruh rakyat Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM30,000 kepada Masjid As Syakirin, Kampung Labu Lanjut bagi tujuan pembangunan dan pengurusan institusi ibadat penduduk Islam setempat.

=EZY=