Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor gembira Kedah ‘tiru’ beri 20 meter padu air percuma

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 12 NOV : Kerajaan Selangor menyambut baik inisiatif dilaksanakan Kerajaan Kedah yang mengumumkan pengecualian caj bekalan air kepada pengguna domestik negeri itu, pada kadar penggunaan maksimum 20 meter padu bermula, tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Selangor menggalakkan sebarang usaha berkebajikan dilaksanakannya untuk dijayakan di peringkat Persekutuan.

“Saya gembira sekiranya mana-mana kerajaan negeri lain mengikut jejak langkah Kerajaan Selangor dengan melaksanakan dasar pemberian air percuma.

“Bukan sahaja Kedah, malahan Kerajaan Persekutuan sekali pun, saya tidak ada masalah (jika) mereka ikut jejak langkah Selangor.

“Ini membuktikan Selangor telah berjaya menunjukkan daya kepimpinan dalam membantu negeri dan negara ketika suasana ekonomi yang amat lembab.

“Saya harap banyak lagi inisiatif yang dilakukan di Selangor akan menjadi contoh kepada negeri dan Persekutuan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas hadir pada Program Penyerahan Kunci Secara Simbolik di Persiaran Rimba Permai Cyber 10, hari ini.

Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan pelaksanaan dasar pemberian air percuma yang sama seperti di Selangor ketika membentangkan Bajet Kedah 2018.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pelaksanaan dasar sama itu bakal memberikan manfaat kepada 221,000 pengguna domestik yang memiliki bil bulanan tidak melebihi RM10 setiap bulan.

Bagaimanapun pengecualian ini hanya diberikan kepada pengguna dengan bil 20 meter padu sebulan atau RM10 iaitu hanya pengguna yang memiliki bil sehingga RM10 dikecualikan dan jika bil RM10.10, maka perlu membuat bayaran penuh.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mula melaksanakan dasar pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bersamaan dengan 20,000 liter atau 5,680 gelen, setiap bulan secara percuma untuk rakyat.

Faedah ini adalah untuk semua tanpa mengira taraf ekonomi, kaum, fahaman politik, asalkan tinggal di Selangor, berhak mendapat air percuma tersebut, setiap bulan.

Inisiatif pemberian dasar air percuma mula dilaksanakan sejak 2008 di bawah inisiatif Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Tujuan Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar ini ialah bagi meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah akibat daripada kadar sara hidup dan inflasi yang tinggi ketika ini.

Program bekalan air percuma ini juga adalah salah satu komponen bagi Cadangan Penstrukturan semula industri air di Selangor secara holistik dan bersepadu yang diterajui oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Ia dilaksanakan supaya dapat memberikan perkhidmatan lebih berkesan, efektif serta dapat mengurangkan kadar tarif air semasa bagi kemudahan rakyat di Selangor.

=EZY=