Categories
SELANGOR

Skim Bantuan Am Kebajikan naik mulai Januari lalu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor (JKMS) menyalurkan Skim Bantuan Am Negeri dengan tiga kadar bantuan baru iaitu RM250, RM300 dan RM350 sebulan kepada penerima yang layak.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, kadar maksimum bantuan yang disalurkan kepada setiap penerima bantuan adalah RM350 sahaja bagi satu keluarga.

Katanya, JKMS berpandukan kepada Garis Panduan Pengurusan Bantuan Am Negeri yang menetapkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi seisi keluarga adalah RM1,500 atau per kapita RM350 sebulan.

“PGK dan kadar Bantuan Am Negeri baru ditingkatkan dan berkuatkuasa mulai Januari 2017.

“Bagi individu atau keluarga yang tidak mempunyai keupayaan sara diri dan tiada pendapatan, maka mereka sememangnya layak menerima bantuan itu berdasarkan kelayakan semasa.

“Kerajaan Negeri tidak bercadang menaikkan lagi kadar Bantuan Am Negeri dalam masa terdekat kerana ia baru dinaikkan mulai awal 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San berhubung Skim Bantuan Am Kebajikan, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Daroyah yang juga ADN Sementa berkata, penerima bantuan am juga layak menerima manfaat daripada bantuan kebajikan Kerajaan Negeri menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Antaranya, Skim Peduli Sihat, Bantuan Kesihatan Sihat Selangor, Bantuan Bulanan Smart Selangor Food Stamp, Program Mikrokredit Bersepadu Hijrah Selangor dan banyak lagi,” katanya.