Categories
SELANGOR

Skim Smart Life bantu keselesaan penduduk

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 NOV: Skim Smart Life membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dari segi penjimatan kos kerana ia ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM30 juta bagi tujuan itu untuk membaik pulih lif tanpa perkongsian kos daripada penduduk.

“Ia adalah bantuan khusus untuk pangsapuri kos rendah RM42,000 dan ke bawah yang turut merangkumi bayaran fi firma kompeten untuk penyelenggaraan lif selama setahun.

“Bantuan ini dapat meringankan beban JMB atau MC dengan penjimatan kos perbelanjaan penyelenggaraan bangunan antara RM7,000 hingga RM100,000 setahun mengikut kawasan masing-masing.

“Jumlah ini sangat besar kepada JMB atau MC yang mempunyai dana kutipan caj sangat terhad untuk membaik pulih kerosakan atau menaik taraf kemudahan komuniti di pangsapuri,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbelanjaan kira-kira RM29.5 juta disalurkan kepada 24 pangsapuri di kawasan tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi bantuan bayaran fi firma kompeten.

“Ia adalah di Majlis Bandaraya Petaling Jaya membabitkan enam pangsapuri dengan bantuan kira-kira RM8.1 juta, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (enam) (RM3. 2 juta), Majlis Perbandaran KLang (tiga) (RM9.3 juta) dan Majlis Perbandaran Kajang (tiga) (RM1.3 juta).

“Selain itu, tiga pangsapuri di Majlis Perbandaran Selayang juga menerima RM1.6 juta diikuti Majlis Perbandaran Subang Jaya (dua) (RM4.5 juta) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (satu) (RM1.5 juta),” katanya.

=EZY=