Categories
SELANGOR

SSDU rangka 8 projek upaya infrastruktur

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 NOV: Smart Sealngor Delivery Unit (SSDU) berhasrat melaksana lapan projek infrastruktur pada tahun hadapan, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia termasuk pelarasan sistem pembayaran parkir untuk semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengenakan bayaran ruang parkir menerusi sistem Smart Parking.

Katanya, ia membolehkan rakyat mengguna pakai satu aplikasi pintar untuk urusan pembayaran parkir dan kompaun tanpa perlu menggunakan mesin bayaran dan kupon yang berbeza-beza.

“Hentian terpilih Bas Smart Selangor juga akan dilengkapkan dengan kemudahan Panel Maklumat Penumpang (Passenger Information Display Panel), kemudahan mengecas telefon bimbit, wi-fi percuma, kamera litar tertutup (CCTV) dan ‘panic button’.

“Sementara itu, Sistem Intelligent Response Selangor (i-RS) ditambah baik bagi membolehkan pelaporan jalan berlubang diproses Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah dan Tanah serta Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan usul pembekalan di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, penambahbaikan juga dilakukan terhadap program Community Opinions On-Line dengan meluaskan skop kepada 56 Ahli Dewan Negeri, penambahan modul Points of Interest, ‘interface’ dengan sistem aduan sedia ada dan penawaran bahasa pilihan Mandarin.

Katanya, projek lain adalah sistem pengurusan trafik, penambahbaikan Smart Selangor Command Centre (SSCC), konsolidasi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan Smart CCTV.

“SSDU akan menjalankan projek perintis di mana sistem pintar yang menggunakan enjin ‘cognitive’ membolehkan CCTV di bawah seliaan PBT dipantau secara automatik.

“Ia dapat meningkatkan mutu dan keberkesanan pemantauan ke atas keselamatan komuniti,” katanya.