Categories
SELANGOR

Serah memorandum, MB anggap proses demokrasi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 NOV: Tiada halangan bagi Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional menyerahkan memorandum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah membabitkan isu kritikan terhadap bangsa bugis oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu sebahagian daripada proses demokrasi, di negara ini.

“Tak kan saya nak menghalang? Itu proses demokrasi. Siapa nak hantar, hantarlah.

“Tetapi perkara berbangkit antara Tun Mahathir dengan dakwaan kononnya beliau menghina masyarakat Bugis boleh diselesaikan secara baik dan bersopan.

“Ia boleh dibuat tanpa campur tangan media terutama Utusan Malaysia,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, petang tadi.

Dalam laporan media baru-baru ini, Sultan Selangor melalui Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais, menzahirkan rasa kecewa dan murka terhadap kenyataan mantan Perdana Menteri itu berkaitan bangsa Bugis.

Bagaimanapun, Tun Mahathir menafikan kenyataan dibuat dalam himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya, pada 14 Oktober lalu menghina semua bangsa Bugis, sebaliknya hanya merujuk kepada “perompak yang mencuri wang rakyat”.

Sementara itu, ADN Kuang, Dato’ Shukor Idrus dalam sidang medianya pagi ini berkata, memorandum itu dihantar sebagai sokongan pimpinan pembangkang Selangor terhadap Sultan Selangor.

Semalam, Dewan Negeri Selangor (DNS) menolak usul tergempar ADN BN untuk membahaskan isu kritikan Tun Mahathir terhadap bangsa Bugis yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Speaker DNS, Hannah Yeoh berkata, penolakan dibuat bagi memberi laluan kepada perbahasan Belanjawan Selangor 2018.