Categories
SELANGOR

Tiga ajaran sesat ancam negara

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 7 NOV: Sebanyak tiga aktiviti penyebaran ajaran sesat dikenal pasti mengancam ketenteraman awam dan berbahaya kepada negara.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, antara ajaran sesat terbabit ialah ajaran Millah Ibrahim @ Abraham (Millah Abraham), fahaman Syiah dan kumpulan militan Daesh.

“Ajaran Millah Abraham menjalankan usaha menjadikan negara baharu dan menghasut ahlinya melakukan apa juga tindakan bagi mencapai objektif di bawah ajaran meskipun bertentangan dengan norma masyarakat.

“Fahaman Syiah pula boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan menolak prinsip al-islam Wal Jamaah yang dominannya di Selangor.

“Sementara, kumpulan militan IS (Daesh) mempromosikan perang ideologi dan merekrut ahlinya untuk aktiviti keganasan.

“Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak terlibat dalam membanteras gejala ajaran sesat di Selangor,” katanya sambil menambah terdapat 19 ajaran sesat masih aktif di Selangor.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Pada masa sama, Ahmad berkata, kedatangan pendatang juga menjadi salah satu punca pembawakan aktiviti ajaran sesat di Selangor.