Categories
GLOBAL

Turki terus hantar bantuan mangsa gempa bumi Iraq-Iran

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 15 NOV: Pertubuhan Bulan Sabit Merah Turki terus menghantar bantuan kecemasan kepada mangsa terlibat dalam tragedi gempa bumi kuat di Iraq dengan angka korban meningkat kepada lebih 500 mangsa manakala lebih 8,000 cedera.

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan sembilan trak penuh dengan keperluan seperti selimut, tilam dan pakaian musim sejuk dihantar ke kawasan paling terjejas di sempadan Iraq dan Iran.

Jurucakap rasmi Kerajaan Iran mengumumkan sebanyak 536 kampung musnah dengan kira-kira 12,000 rumah musnah serta menjejaskan sekurang-kurangnya 70,000 penduduk tanpa kediaman.

Gempa bumi pada kekuatan 7.3 magnitud menurut Agensi Geologi Amerika Syarikat berlakiu pada jam 9.48 p.m waktu tempatan pada Ahad dengam pusat gegaran dikesan berhampiran Ezgeleh Iran iaitu 135 batu Utara Baghdad.

Sementara itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani, memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa gempa bumi.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan beliau yang tiba di Kermanshah dengan menaiki helikopter turut berjanji untuk meningkatkan usaha membantu mangsa yang kehilangan kediaman masing-masing.

“Saya beri jaminan kepada semua mangsa bahawa kerajaan sudah mengerah segala usaha untuk menangani masalah yang timbul secepat mungkin,” katanya.

Hassan berkata, semua bantuan disalurkan menerusi Yayasan Perumahan, iaitu dana amanah yang berperanan penting dalam ekonomi Iran.

=EZY=