Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL dan Universiti Jinan meterai kerjasama pendidikan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Jinan, China memeterai Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOA) bagi memantapkan kerjasama pendidikan antara kedua-dua universiti.

UNISEL diwakili Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman manakala Universiti Jinan diwakil Naib Presiden, Prof Lin Rupeng.

Majlis Memorandum Perjanjian yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UNISEL turut disaksikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

Mohammad Redzuan dalam ucapannya berkata, pembangunan pendidikan masa kini kian berbeza dan perkongsian kerjasama dengan universiti luar mampu memperkukuh industri pendidikan dua hala.

“Selepas ini, akan wujud hubungan yang mantap antara kedua-dua universiti dalam bidang pendidikan serta kajian ilmiah.

“Bidang Bioteknologi yang dilakukan Universiti Jinang sangat mengagumkan. Kita percaya dapat mempelajari banyak perkara dan bertukar pandangan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada delegasi Universiti Jinan yang memberikan layanan baik dalam kunjungan delegasi UNISEL ke China baru-baru ini.

Dalam majlis sama Lin Rupeng turut mengucapkan terima kasih atas kesudian UNISEL untuk memeterai MOA bersama Universiti Jinan.

Beliau percaya kerjasama ini membolehkan kedua-dua universiti meneroka lebih banyak bidang bersama-sama pada masa akan datang.

=EZY-