Categories
AGAMA PELANCONGAN SELANGOR

Rehlah Nabawiyyah, papar kisah hidup Rasulullah SAW

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 NOV: Orang ramai kini boleh menyaksikan secara lebih dekat kisah kehidupan Rasulullah SAW melalui pameran Rehlah Nabawiyyah yang bermula sejak 18 November lalu.

Pameran yang diadakan di Galeri Utama, Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Seksyen 10 di sini, memaparkan perjalanan hidup sebelum kelahiran sehingga kewafatan baginda.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, pengunjung yang hadir akan mengalami sendiri kisah hidup Rasulullah SAW dalam pelbagai bentuk seperti lukisan tiga dimensi (3D), model, replika, video, hologram serta 21 segmen sirah.

“Ia adalah antara tarikan utama kepada pengunjung selain dapat merasai sendiri pengalaman hebat kisah Rasulullah SAW yang amat mencintai kita sebagai umatnya.

“Tujuan utama pameran ini adalah berkonsepkan ilmu dan dakwah secara realiti dalam bentuk teknologi terkini untuk dihayati sepenuhnya dengan lebih mendalam dan berkesan mengenai kisah sejarah baginda.

“Pameran ini juga selari dengan aspirasi Yayasan Restu dan Nasyrul Quran dalam menyebarkan ilmu Al-Quran dan usaha dakwah yang berterusan untuk dimanfaatkan ummah,” katanya dalam sidang media pameran Rehlah Nabawiyyah di sini, hari ini.

Bertemakan “Bukan Sekadar Sejarah tapi Peradaban”, ia adalah suatu kecemerlangan yang tercapai hasil daripada fizikal, intelektual dan spiritual yang terdapat dalam diri Rasulullah SAW.

Abdul Latiff berkata, bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasulullah SAW (Maulidur Rasul) pada Jumaat ini, harga tiket masuk dijual RM10 bagi kanak-kanak dan dewasa berbanding harga asal RM15 (kanak-kanak) dan RM25 (dewasa).

“Hampir keseluruhan pameran ini menggunakan tenaga tempatan yang terbabit dari segi rekaan dan penggunaan teknologi.

“Saya juga percaya, belum ada lagi pameran mengenai Rasulullah SAW yang seumpama ini di Malaysia,” katanya.

=EZY=