Categories
SELANGOR

110 pelajar cemerlang DUN Selat Kelang dirai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 DIS: Seramai 110 pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) DUN Selat Klang dirai dalam satu Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR dan PSRA 2017, pada 13 Disember lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata, penganjurannya diadakan bagi menghargai pencapaian cemerlang pelajar dalam kedua-dua peperiksaan utama itu.

“Kecermelangan ini perlu diteruskan dan untuk itu ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak-anak ini sehingga ke menara gading,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap majlis yang diadakan di Dewan Teluk Pulai, Klang.

Dalam perkembangan itu, pelajar Nur Syazani Mohammad dipilih sebagai pelajar terbaik UPSR dan PSRA DUN Selat Klang.

Lebih manis, beliau turut dipilih sebagai penerima bagi anugerah ‘Best of the Best’ (BOTB) atas prestasi cemerlang dalam peperiksaan itu.

Pada masa sama, Nur Syazani dipilih atas kejayaan memperoleh keputusan 6A dalam peperiksaaan UPSR dan mendapat keputusan Mumtaz dalam PSRA.

Pelajar itu juga disenaraikan sebagai empat pelajar terbaik PSRA bagi Selangor dan di kedudukan 19 bagi peperiksaan UPSR.