Categories
GLOBAL

8,700 bomba bergelut kawal kebakaran di California

GLOBAL 9 DIS: Anggota bomba di California Selatan berhadapan tekanan mengawal enam kebakaran hutan, yang sudah memusnahkan ratusan bangunan dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.

Jabatan kaji cuaca meramalkan angin semakin kencang menjelang malam ini sekali gus menjadikannya lebih mencabar kepada 8,700 anggota bomba yang sudah bergelut mengawal kebakaran dari San Diego ke Pantai Pasifik di Santa Barbara, sejak lima hari lalu.

Kebakaran meragut sekurang-kurangnya satu nyawa, memusnahkan 500 struktur, mencederakan 10 orang termasuk empat anggota bomba.

Angin kencang berkemungkinan memadamkan api yang kini berisiko merebak, kata jurucakap Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California, Lynne Tolmachoff.

Pada kemuncaknya, kira-kira 212,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Arahan pemindahan ditarik balik di sesetengah kawasan, menjadi berita baik kepada ramai di pusat perlindungan yang menanti untuk melihat sama ada rumah mereka selamat.

Gabenor California, Jerry Brown, hari ini bertemu penduduk kawasan dilanda kebakaran dan melawat kerosakan di Ventura, lokasi kebakaran terbesar iaitu Thomas Fire, memusnahkan 57,870 hektar kawasan dan 476 struktur.

SUMBER: REUTERS