Categories
NASIONAL

Ucapan di PWTC penuh perkauman, hasutan tiada manfaat untuk rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 9 DIS: Empat hari Perhimpunan Agung Umno (PAU) dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), namun tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya perhimpunan tahunan parti itu hanya sarat dengan fitnah, hasutan dan kebencian berbaur perkauman.

“Seorang pemimpin tertinggi berucap tetapi sedihnya tiada manfaat untuk rakyat, sebaliknya hanya ucapan fitnah.

“Mereka juga kata kononnya jika Pakatan Harapan memerintah, perkhidmatan awam akan dikecilkan di mana ini adalah satu fitnah,” katanya pada program Jelajah Peduli Rakyat di tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang, di sini, hari ini.

Jelasnya, sebaliknya Pakatan Harapan lebih menghargai penjawat awam berbanding Kerajaan Persekutuan sendiri.

Katanya, Kerajaan Negeri sendiri sentiasa menghargai kerja keras penjawat awam di Selangor dalam menjayakan dasar Kerajaan Negeri dengan memberi bonus tahunan.

Katanya lagi, pada tahun ini Kerajaan Negeri memberikan bonus sebanyak tiga bulan gaji sebagai penghargaan kepada penjawat awam di Selangor.

=EZY=