Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

RM25 bilion boleh diselamatkan jika ketirisan dan rasuah ditutup

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 9 DIS: Dianggarkan sebanyak RM25 bilion setahun boleh diselamatkan jika pemimpin Kerajaan Persekutuan hari ini tegas dalam membasmi dan menjauhkan diri daripada terlibat dengan amalan rasuah dan ketirisan.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkara ini didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Apa yang penting kerajaan mestilah berintegriti, yang penting kita mesti tutup ruang rasuah dan penyelewengan seperti Laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan yang tiris, yang hilang setiap tahun lebih RM25 bilion.

“Bukan saya kata, Ketua Audit Negara yang kata. Maka kalau kita boleh tutup lubang-lubang ini, kita selamatkan RM25 bilion. Tak perlu kita kutip cukai dari rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Peduli Rakyat di Tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang di sini, hari ini.

Jelasnya, penjimatan RM25 bilion itu membolehkan Pakatan Harapan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari sekiranya berjaya menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Katanya, pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) hanya berminat menjaga kepentingan sendiri dan kroni masing-masing berbanding kepentingan rakyat.

=EZY=