Categories
GLOBAL

Atlantis: Petunjuk baru carian kapal selam hilang

BUENOS AIRES 12 DIS: Pasukan mencari kapal selam milik tentera laut Argentina menemui petunjuk baru iaitu sebuah objek, selepas 26 hari dilaporkan hilang bersama 44 kru.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Presiden Mauricio Macri dan pasukan tentera laut Argentina sebelum ini memutuskan bahawa kapal selam terbabit hilang secara tragik, pada 15 November lalu.

Ahli keluarga mangsa bagaimanapun tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mendesak misi pencarian diteruskan untuk mendapat jawapan sebenar di sebalik insiden terbabit.

Jurucakap tentera laut, Enrique Balbi ketika ditemui media berkata, sebuah objek ditemui pada kedalaman 1,000 meter dengan menggunakan alat pengesan sonar.

“Kajian sedang dibuat untuk melihat jika objek berkenaan adalah kapal selam yang hilang itu,” katanya.

Menurut laporan, objek berkenaan dikesan oleh kapal milik Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Atlantis.

Pihak berkuasa Argentina sehingga kini tidak memberikan sebarang tarikh rasmi untuk menamatkan misi pencarian itu.

Hubungan terakhir dibuat kapal selam dikenali sebagai San Juan itu adalah pada 15 November ketika sedang belayar di Selatan Atlantik.

Menerusi komunikasi terakhir itu, kru kapal berkenaan memaklumkan bahawa ia mengalami kerosakan teknikal berpunca daripada litar pintas, apabila saluran kapal terbabit dimasuki air.

=EZY=