Categories
NASIONAL

KPDNKK perlu gerak ops seluruh negara, banteras susu palsu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta memperluaskan operasi rampasan susu rumusan bayi palsu ke seluruh negara, bagi memastikan ia dapat dibanteras.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee, berkata tindakan seperti itu wajar dilakukan kerajaan demi kesihatan rakyat seterusnya mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

“Berikutan rampasan lebih 200 kotak susu rumusan bayi disyaki palsu oleh KPDNKK, saya mendesak supaya ia diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan tidak ada sekotak pun susu berkaitan terdapat di dalam pasaran.

“Susu rumusan bayi palsu ini mengancam kesihatan bayi dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia, adalah wajib memperluaskan lagi kawasan operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, polis juga perlu turut serta agar dalang di sebalik sindiket itu dapat diberkas secepat mungkin.

“Saya harap pihak berkenaan tidak meletakkan kesihatan bayi di dalam keadaan terancam,” katanya.

Terdahulu, KPDNKK merampas 210 kotak susu rumusan bayi disyaki tiruan bernilai RM42,000 susulan aduan mengenai seorang bayi mengalami muntah teruk selepas menggunakan produk itu.

Rampasan itu hasil pemeriksaan di lima kedai ubat-ubatan dan serbaneka di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai, Johor, Khamis lalu.

PengarahKPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.