Categories
SUKANKINI

Bengals RC pertahan Piala Mersing Monsoon Rugby Challenge

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 DIS: Kelab Ragbi Bengals (Bengals RC) berjaya mempertahankan kejuaraan di kejohanan Mersing Monsoon Rugby Challenge 2017, baru-baru ini.

Presidennya, Abd Rahim Wasik berkata, Bengals RC menghantar dua pasukan untuk setiap peringkat umur Bawah 14 Tahun dan Bawah 16 Tahun.

Katanya, di peringkat kumpulan, pasukan Bawah 14 Tahun Bengals A dan Bengals B memenangi semua perlawanan sementara bagi Bawah 16 Tahun pula, Bengals B memenangi semua perlawanan di peringkat kumpulan.

“Di dalam perlawanan akhir peringkat Bawah 14 Tahun, Pasukan Bengals B muncul johan kategori Cup dengan menewaskan Pasukan Storm, dengan kedudukan 12 – 5.

“Pada masa sama, Bengals A pula menduduki tempat ketiga peringkat
umur Bawah 14 Tahun,” katanya.

Abd Rahim berkata, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian pasukan bimbingan ketua jurulatih, Ismarizal serta dibantu jurulatih muda, Haikal.

Katanya, pemain Bengals RC turut terpilih sebagai Pemain Terbaik untuk peringkat umur Bawah 14 Tahun.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga Bengals RC
yang memberi kerjasama dan sokongan padu kepada pasukan.

“Kami akan terus memberi saingan dan terus berusaha untuk memenangi mana-mana kejohanan pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=