Categories
SELANGOR

Guna modul terkini dan terbaik pulihkan penagih dadah

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 19 DIS: Pusat Pemulihan Baitul Islah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Serendah, Hulu Selangor bakal menggunakan modul psikososial dan kerohanian Pusat Khidmat Cure & Care (CCSC), modul rawatan ARV (ubat anti retroviral) HIV/AIDS dan modul istitabah MAIS bagi memulihkan penagih dadah.

Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, ia adalah inisiatif untuk membantu dan memberi perlindungan kepada golongan itu di mana penghuni akan tinggal di pusat itu sehingga keluar dari belenggu dihadapi sama ada kembali ke pangkuan keluarga untuk meneruskan kehidupan atau meninggal dunia dalam keadaan Islam.

“Ia kerana kita tidak mahu golongan ini diabaikan sekali gus akan memastikan mereka dibantu dari segi pengukuhan akidah.

“MAIS juga akan menanggung kos makan dan minum penghuni, menempatkan tiga pegawai masing-masing dari MAIS dan AADK. Manakala kos utiliti, pelantikan pembimbing rakan sebaya (PRS), latihan kepada penjaga (care giver) dan pengawal keselamatan akan diuruskan AADK.

“Kita mensasarkan seramai 40 penghuni ditempatkan dalam satu masa, terdiri daripada penagih dadah atau pesakit HIV/AIDS yang dihantar keluarga, hospital atau sukarela bagi tujuan pemulihan rawatan dan perlindungan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pengurusan Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan AADK di Hotel Aliya, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Dato’ Dr Abd Halim Hussin berharap dapat melebarkan kerjasama dengan agensi-agensi lain untuk menawarkan perkhidmatan pemulihan, rawatan dan perlindungan kepada golongan berkenaan.

“MAIS adalah majlis agama Islam negeri pertama melaksanakan usaha sama ini dan saya hargai usaha MAIS selaku rakan strategik dalam membantu penagih tegar termasuk anak-anak Selangor dan pemastautin.

“Kerjasama ini mengambil pendekatan melalui proses pemulihan berlandaskan al-Quran dan sunnah sebagai asas pemulihan pesakit HIV/Aids.

“Selain itu, lokasi pusat ini bersesuaian dan mudah diberi rawatan khusus kerana berdekatan dengan Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Abd Halim berkata, hanya penghuni lelaki beragama Islam sahaja akan ditempatkan di pusat itu tanpa mengira peringkat umur.

Pada masa sama, AADK turut berhasrat untuk menambah empat lagi pusat pemulihan di negara ini termasuk 27 yang sedia ada bagi menampung keperluan pesakit.

=EZY=