Categories
SELANGOR SENI

Gayour: Jibam lebih dekat dengan kita daripada Star Wars

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 DIS: Walaupun sambutan suram pada minggu pertama tayangannya, filem Jibam terus melangkah ke minggu ketiga ekoran meningkatnya sambutan terhadap filem yang diadaptasi daripada novel karya kartunis terkenal Ujang.

Seorang lagi kartunis terkenal, Gayour atau nama sebenarnya Mazli Ibrahim, berkata, peminat filem tempatan wajar memberikan sokongan kepada filem terbabit ekoran filem itu memaparkan realiti kehidupan sebenar masyarakat tempatan berbanding filem keluaran Hollywood.

“Dari Novel ke ‘live action’. Tak ada sebab untuk rakyat Malaysia tidak menonton filem Jibam yang lebih dekat dengan budaya kita daripada Avengers, Justice League atau Star Wars,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, beliau turut menggesa pencinta seni tempatan supaya memberikan sokongan terhadap filem Jibam dan tidak hanya menumpukan filem antarabangsa sahaja.

Katanya, dengan sokongan orang ramai, tidak mustahil tayangan filem Jibam mampu bertahan lebih lama di pawagam.

Filem Jibam mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Disember lalu dan berjaya bertahan sehingga ke minggu ketiga tayangannya.

Filem itu turut mendapat sokongan penggiat seni tempatan seperti M. Nasir, Ayda Jebat dan ramai lagi.

=EZY=