Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

i-Kampung Bagan kongsi keunikan 19 kampung bagan Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 DIS: Keunikan 19 kampung bagan di Selangor kini dibukukan menerusi siri khas, ‘i-Kampung Bagan Selangor – Garis Pantai Yang Hilang dari Peta’.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, inisiatif itu diterjemah bagi merekodkan budaya, sejarah dan keistimewaan setiap kampung bagan di Selangor.

Katanya, ia sekaligus dapat memperkenalkan kewujudan kampung bagan yang masih kurang disedari rakyat terutama penduduk bandar.

“Usaha ini juga penting kerana kampung bagan berkenaan juga tidak dapat ditemui di dalam peta, mungkin kerana saiznya yang tidak besar.

“Jadi, dengan terbitnya buku ini, rakyat kini berpeluang mengenali lebih dekat setiap kampung bagan dan kisah menarik di sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran ‘i-Kampung Bagan Selangor – Garis Pantai Yang Hilang dari Peta’, di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, sebanyak 1,500 cetakan sedia untuk diedarkan secara percuma di agensi berkaitan seperti perpustakaan, sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, penerbitan buku berkenaan juga mampu membuka ruang lebih luas bagi sektor pelancongan dan ekonomi berkembang di kampung bagan.

“Selain pemandangan indah, setiap kampung juga mempunyai hasil laut dan keunikan tersendiri dan nilai ini mampu menjadi utama pelancongan.

“Apabila sektor pelancongan berkembang, ekonomi juga dapat digiatkan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Antara kampung bagan yang terkenal dengan sektor pelancongan adalah Kampung Bagan Pulau Ketam, Seri Sekinchan dan Pasir Penambang.

Untuk rekod, Selangor mempunyai jumlah kampung bagan tertinggi di Malaysia dengan 19, diikuti Perak (16), Johor (7) dan Pulau Pinang (2).

=EZY=