Categories
NASIONAL

Ikan tilapia di Malaysia selamat dimakan

KUALA LUMPUR 18 DIS: Susulan dakwaan di media sosial bahawa ikan tilapia tidak patut dimakan dan kononnya menjadi penyebab kanser, Jabatan Perikanan Malaysia memberi jaminan ikan tilapia di Malaysia selamat untuk dimakan.

Menurut jabatan itu, tiada artikel saintifik di dalam dan luar negara berkaitan laporan terdapatnya sel kanser pada isi ikan tilapia.

“Tiada juga laporan saintifik yang mengaitkan isu penggunaan makanan ikan yang dicampur hormon dan agen penggalak tumbesaran diamalkan dalam industri ternakan ikan di Malaysia,” menurut kenyataan jabatan berkenaan.

Kenyataan itu menyebut Jabatan Perikanan Malaysia di bawah Program Agriculture Residue Monitoring (ARMP) telah menjalankan program pemantauan kualiti ikan di peringkat ladang bagi memastikan ikan dan hasilan ikan bebas daripada kesan pencemaran dan selamat untuk dimakan.

Kebanyakan pengusaha ternakan ikan tilapia pada masa ini menggunakan strain tilapia yang ditambah baik melalui pembiakbakaan, kacukan dan hibrid untuk meningkatkan kadar tumbesaran.

“Maka penggunaan hormon dan agen penggalak tumbesaran tidak perlu dan membazir serta akan meningkatkan kos operasi,” kata kenyataan itu.

SUMBER: BERNAMA