Categories
AGAMA SELANGOR

MAIS, AADK jalin kerjasama kendali Pusat Pemulihan Rawatan Penagih Dadah

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 18 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini menjalinkan kerjasama untuk mengendalikan Pusat Pemulihan Rawatan Penagih Dadah yang akan bermula pada Januari 2018.

Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, program itu adalah inisiatif untuk memberi perlindungan dan bantuan kepada penagih dadah atau pesakit HIV/AIDS di Selangor.

“Kerjasama ini berkaitan pembangunan sosial masyarakat Islam yang akan memberi peluang kepada mereka mendekatkan diri kepada Allah.

“Cetusan idea kerjasama ini bermula apabila konsep kepakaran dalam mengendalikan penagih dadah ditawarkan Ketua Pengarah AADK semasa rawatan rasmi beliau ke Baitul Islah pada 2 Oktober 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pengurusan Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan AADK di Hotel Aliya, di sini.

Majlis itu telah ditandatangani oleh Dato’ Bakhtiar Hussin bersama Ketua Pengarah AADK, Dato’ Dr Abd Halim Hussin.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar dan Pengarah Bahagian Rawalan Perubatan dan Pemulihan AADK, Azim Mustafa.

Bakhtiar berkata, pusat pemulihan itu terletak di Serendah, Hulu Selangor dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.1 juta menerusi sumber riqab, Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Bahagian Al-riqab MAIS juga memberi peruntukan sebanyak RM1.8 juta kepada pusat itu merangkumi bayaran emolumen pengurusan pentadbiran dan operasi.

Kerjasama antara MAIS dan AADK bermula sejak 2010 melalui pelbagai program dan aktiviti seperti lawatan ke rumah asnaf, ziarah dan naziran ke Rumah Pemulihan Al-riqab dan program kelas bimbingan agama yang diadakan di premis AADK.

=EZY=