Categories
SELANGOR

MBI agih 1,560 baju sekolah di empat DUN

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 18 DIS : Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) terus komited membantu masyarakat dengan memberi 1,560 baju seragam sekolah di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) bersempena dengan Jelajah Jom Ke Sekolah.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, pengagihan baju sekolah ini diterima oleh 1,500 penduduk di DUN Bukit Antarabangsa, DUN Gombak Setia, DUN Batu Caves dan DUN Hulu Klang.

“Kita terus komited menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bagi menyantuni dan meringankan beban ibu bapa khususnya untuk menyediakan persiapan anak-anak sempena pembukaan sekolah.

“Pengagihan baju sekolah ini sedikit amal dan bakti kami mewakili Kerajaan Negeri dalam meneruskan kesinambungan program Inisiatif Peduli Rakyat,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Pakaian Seragam Sekolah Jelajah Jom Ke Sekolah oleh CSR MBI Selangor di Dewan MPS, Dewan Beringin Seri Gombak, di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Selain itu, Hasbullah berkata, usaha MBI melaksanakan program CSR untuk menyantuni dan mengasihi rakyat Selangor khususnya kepada pelajar.

“Rakyat memerlukan perhatian dan kepedulian oleh itu Kerajaan Negeri sentiasa hargai dan ambil peduli kebajikan mereka secara keseluruhan dengan pemberian inisiatif sebegini,” katanya.

Sementara itu, Hasbullah turut menyampaikan agihan baju seragam sekolah berserta bantuan beg sekolah kepada penerima terpilih.

Terdahulu, majlis turut dihiburkan dengan kehadiran tiga ikon sosial media iaitu Luqman Podolski, Adib Alexx dan Kyopropaganda serta persembahan nyanyian daripada Zara Ali.

=EZY=