Categories
PBT SELANGOR

MBSA anjur seminar pengauditan mantap integriti PBT

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 24 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Seminar Pengauditan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memperkasa integriti melalui pemantapan sistem pengauditan, di Hotel Concorde, di sini, pada 5 dan 6 Disember lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia bertujuan memberi pendedahan meluas kepada konsep asas dan isu terkini pengauditan, meningkatkan kefahaman serta mengetengahkan isu juga cabaran dihadapi PBT.

Katanya, seminar itu turut memberi ruang dan peluang kepada pegawai audit serta integriti berkongsi maklumat, idea juga pengalaman.

“Antara pengisian seminar adalah ceramah dari Juruaudit Kanan, Bahagian Audit Dalam Kementerian Wilayah Persekutuan Ab Hadi Daud dan Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Pertahanan Malaysia, Mohd Roshidi Noor.

“Ceramah juga disampaikan Penguasa Kanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohamad Rizal Ahmad dan perkongsian ilmu dari Penceramah Bebas, Ustaz Zulkifli Ahmad.

“Diharapkan penjawat awam, khususnya pegawai audit dan integriti PBT Selangor dapat memperkasakan tugas masing-masing, sekali gus meningkatkan sistem penyampaian di agensi masing-masing,” katanya.

Seminar itu membabitkan 68 peserta dari juruaudit bahagian audit dalam serta pegawai integriti, di setiap PBT Selangor dan agensi kerajaan.

Seminar dirasmikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.