Categories
PBT SELANGOR

MPSJ ajak saksi pertandingan bola sepak sambil beramal

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 24 DIS: Orang ramai dijemput hadir menyaksikan pertandingan bola sepak sempena sambutan ulang tahun Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ke–20, hari ini.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, ia juga dianjur bagi mengutip derma amal untuk kakitangan MPSJ, di Jabatan Khidmat Pengurusan, Faizah Mansor yang memerlukan bantuan.

Katanya, pertandingan akan diadakan di Arena MPSJ, USJ 5 bermula jam 9 pagi dan dijangka berakhir malam nanti.

“Semua penduduk dijemput hadir menyaksikan perlawanan yang pastinya menarik dengan aksi ramai pemain berbakat.

“Marilah kita bersama beriadah dan bersukan sambil beramal bagi insan yang memerlukan perhatian,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, program itu mendapat kerjasama Anak Selangor Fan Club dan Kelab Bolasepak Projek Darul Ehsan.

Katanya, ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pertandingan Sepakan Penalti Terbuka dan bawah 12 Tahun serta Kejohanan Jemputan 6 Penjuru Bola Sepak.

“Bagi ketegori pertama, pertandingan dijangka bermula jam 9 pagi ini dan berakhir, pada jam 7 malam.

“Kategori kedua pula akan bermula pada jam 7.30 malam membabitkan enam pasukan jemputan termasuk pasukan Selangor Elite, Anak Selangor Fan Club, Projek Darul Ehsan, Astro Arena, Harian Metro dan Pilihan MPSJ,” katanya.