Categories
SELANGOR

MBSA rai media di bandaraya bersejarah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 DIS: Sekumpulan warga media diraikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam lawatan satu hari satu malam ke Melaka, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, ia bertujuan menghargai kerjasama berterusan media dalam menyiarkan aktiviti dan program anjuran MBSA selain memperkasakan hubungan sedia ada.

Katanya, liputan media banyak membantu membentuk persepsi baik masyarakat terhadap imej Pihak Berkuasa Tempatan itu.

“Media memainkan peranan penting dalam sistem penyampaian kepada komuniti khususnya warga Kota Shah Alam.

“Mereka juga menjadi pengantara di antara komuniti dan MBSA di dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Shahrin berkata, MBSA amat komited menjalinkan hubungan baik bersama media massa dari semasa ke semasa dalam usaha mempertingkatkan sistem penyampaian di antara kedua pihak.

“Untuk tahun ini, selain lawatan ke Melaka, MBSA juga turut mengadakan Majlis Berbuka Puasa serta Majlis Penghargaan Media Massa sebagai menghargai sumbangan media,” katanya.

Selain Media Selangor, lawatan kali ini turut disertai wakil Sinar Harian, Harian Metro dan Malaysian Gazette.

Antaranya, media dibawa makan malam di Umbai dengan program selingan cabutan bertuah, menaiki Malacca River Cruise dan Malacca Duck Tour.

Tahun lalu, wakil media dirai di Pulau Pinang dan setahun sebelum itu di Singapura.