Categories
GLOBAL

PRU Itali 4 Mac jejas pemulihan Kesatuan Eropah

GLOBAL 30 DIS: Pilihan raya umum Itali pada bulan Mac ini dilihat penghalang terbesar usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk pemulihan perpaduan dalam kalangan mereka selepas referendum Brexit pada tahun lalu dan juga ekonominya.

Sebelum ini, Presiden Itali, Sergio Mattarella bertindak membubarkan Parlimen Itali sekali gus membuka jalan kepada kempen politik yang akan datang.

Langkah presiden itu secara rasmi menamatkan badan perundangan lima tahun yang bermula pada bulan Mac 2013, selepas Gentiloni mengisytiharkan mandat politik kerajaannya telah dipenuhi.

Pilihan raya umum yang bakal diadakan pada 4 Mac itu menyaksikan sokongan rakyat semakin berkurangan terhadap parti memerintah iaitu Parti Demokratik (PD).

Parti berkenaan dipercayai bakal berdepan cabaran besar daripada pembangkang dari parti (M5S) dan juga sayap kanan Forza Italia yang berkempen mengenakan tindakan imigresen lebih keras terhadap pendatang asing terutamanya dari Sahara, Afrika.

Rata-rata rakyatnya juga gelisah dengan kehadiran pendatang yang terlalu banyak sehingga tidak dapat dikekang.

Para penganalisis turut berpendapat, pesaing utama PD, M5S dan Forza Italia akan memecah undi antara ketiga-tiga parti tersebut sehingga majoriti keseluruhan sukar dijangkakan.

M5S dikatakan mempunyai sokongan paling ramai sekitar 28 peratus, PD kira-kira 23 peratus dan Forza Italia pula sekitar 16 peratus.